
Apa itu fitnah dan pengertiannya mengikut bahasa dan istilah?Fitnah dalam bahasa Arab membawa maksud ‘ujian’ atau ‘cubaan’. Perkataan ini sering kita dengari dalam kehidupan kita yang mana ia dikaitkan dengan tuduhan iaitu dengan menuduh perbuatan atau kelakuan seseorang.
Maksud fitnah dari segi istilah ulama seperti yang didefinasikan oleh Jurjani dan turut disokong oleh para bijak pandai, maksud fitnah adalah ‘perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.’ Pertuduhan palsu atau mereka-rekakan cerita adalah perkara fitnah semata-mata.
Perbuatan fitnah memfitnah ini sebenarnya telah pun berlaku semenjak daripada zaman para anbiya’ lagi sehinggalah ke zaman moden sekarang iaitu pada hari ini dengan berbagai versi dan cara mengikut peredaran masa dan arus kemodenan.
Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang serba canggih dengan semua maklumat yang boleh di taip di hujung jari saja seperti dengan adanya Facebook, Twitter, Instagram dan banyak lagi. Oleh itu perkara fitnah pastinya dapat disebarkan dengan amat cepat dan pantas.
Ketika di zaman Rasulullah SAW juga turut adanya fitnah. Perkara ini berlaku kepada isteri Rasulullah SAW itu sendiri iaitu Aisyah R.A yang pernah dituduh dan difitnah oleh orang munafik iaitu dengan tuduhan melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan bin Mu’attol R.A.
Keadaan dan perkara tersebut terus berlarutan dalam jangka masa sehingga sebulan, sehinggalah Allah menurunkan ayat ke-11 Surah An-Nur yang telah dapat membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik tersebut.
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”
Fitnah Itu Bersifat Tidur
Oleh itu, menjadi mangsa kerana fitnah dan tuduhan rambang adalah perkara yang amat ditakuti oleh semua orang di dunia ini, terutamanya perkara fitnah yang boleh menjatuhkan maruah diri sepertimana yang telah berlaku terhadap Aisyah RA isteri Rasulullah SAW.
Tambahan pula dengan era yang penuh dengan kemodenan yang juga dipanggil sebagai dunia tanpa sempadan ini, setiap perkara fitnah yang direkacipta akan merebak dan terus tersebar dengan pantas sehingga mampu mengakibatkan berbagai kesan yang negatif dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.
Memetik perkongsian daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, fitnah itu adalah bersifat tidur seperti mana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Fitnah itu bersifat tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.” – H. R Al-Rafi’e dalam al-Amali. (Hadis ini bertaraf dha’if, tetapi makna nas sahih. Inilah pendapat sebahagian ulama’ hadis.)
Doa Terhindar Fitnah
Berikutnya kami juga kongsikan antara doa menghindari fitnah yang boleh kita diamalkan untuk menghindarkan diri daripada terus difitnah dan dituduh, seperti yang dinyatakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Instagram miliknya.
Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan dalam posting Instagram tersebut bahawa hukum fitnah adalah jelas HARAM dan amat ditegah dan kita hendaklah sentiasa menghindari daripada sebarang bentuk fitnah dan tuduhan, janganlah sekali-kali kita menyebarkannya tanpa mengetahui kesahihan sesuatu cerita lalu disampaikan kepada orang lain.
Oleh disebabkan itu, beliau turut menyarankan beberapa langkah dan cara yang boleh kita ambil untuk membasmi serta menangani kegiatan fitnah ini dan antaranya adalah seperti yang dinyatakan di bawah :
- Mendalami ilmu agama secara berterusan.
- Memotivasikan diri bahawa fitnah adalah suatu pendustaan.
- Mengingatkan diri bahawa semua perbuatan akan dicatat dan dihisab oleh Allah S.W.T.
- Mendekati para alim ulama dan orang soleh.
- Sentiasa mengasihi orang lain.
- Melakukan tabayyun.
Seperti mana diri kita sendiri yang tidak mahu difitnah dan dituduh oleh orang lain, seperti itulah kita harus, wajib dan perlu menjaga pertuturan, percakapan, sikap dan perbuatan supaya kita tidak tergolong di dalam golongan yang mencipta, merekakan atau menyebar fitnah tanpa usul periksa.
Baca Lagi : Doa Orang Teraniaya dan Dizalimi Selalu Dimakbul oleh Allah
Ini kerana perbuatan membuat dan mencipta fitnah itu sangatlah besar hukumannya seperti mana sabda Rasulullah S.A.W daripada Abu Hurairah R.A: “Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” – H.R Al-Bukhari.
Oleh itu, mulai sekarang, marilah kita muhasabah diri serta dengan segera melatih diri supaya menjaga akhlak dan menjauhi fitnah. Harus diingat sampai bila-bila, dosa memfitnah orang lain itu umpama membunuh. Betapa besarnya dosa yang harus ditanggung hingga ke hari akhirat nanti jika kita terlibat dengan fitnah dan tuduhan. Semoga bermanfaat.