Tak dinafikan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan ramai pihak menanggung rugi terutamanya golongan B40. Gara-gara hilang punca rezeki, sebahagian besar mereka hanya mampu mengharapkan bantuan daripada kerajaan serta NGO atau individu yang prihatin di luar sana.
Baru-baru ini, tular sebuah video di Twitter mengenai seorang lelaki OKU yang terpaksa bergantung pada bantuan anak lelaki berusia 7 tahun serta kerusi rodanya untuk mencari sesuap nasi. Siapa sangka, rupanya musibah kesihatan yang menimpa lelaki itu sudah berlarutan selama 10 tahun. Malah difahamkan besi yang menggantikan fungsi tulang pada bahagian kakinya juga telah terjejas.
Dalam rakaman tersebut, sekumpulan individu memberhentikan kenderaan mereka untuk memberi sumbangan makanan kepada 2 beranak tersebut. Lebih mengejutkan, lelaki itu menolak pemberian lebih yang ditawarkan kerana memikirkan terdapat ramai lagi pihak yang mungkin lebih susah daripadanya. Si anak juga kelihatan tersenyum apabila mendengarkan nasihat yang cukup bermakna daripada ayahnya.
Dah 10 tahun kaki patah, anak berumur 7 tahun yang menolak kesana kesini.
Tulang dah patah, besi yang menggantikan tulang pun dah patah. Tunggu wheelchair je patah.Anak: “Cukup ke bah?”
Abah: “Eh cukup la, bagi la orang lain pula ramai lagi tak dapat.”
Di ruangan komen pula, rata-rata netizen sebak dengan kebaikan lelaki OKU itu dan memuji sikap prihatin individu yang menghulurkan bantuan tersebut. Malahan ada yang meluahkan hasrat ingin membantu mereka pada masa akan datang.